Sunday, July 5, 2009

Terbang ke Sana'a.......ceritaku

Hmm, sudah terlajak bercerita tentang apa yang berlaku di Jami' Kabir di Sana'a, eloklah kalau saya bermula daripada awal, bermula daripada waktu saya berada di KLIA untuk berlepas ke Sana'a. Apa yang saya tahu, inilah perjalanan yang amat berharga bagi saya, dan juga amat menyeksakan, kerana macam macam masalah yang berlaku kepada saya.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Akhirnya, jam di rumah sudah menunjukkan jam 12.30 pagi, tibalah masa saya untuk bergerak ke KLIA dari rumah, bersama-sama dengan keluarga saya. Sebelum bertolak, ramai saudara-mara mengunjungi saya dan memberikan semangat kepada saya supaya cekal di Yaman nanti. Yalah, tidak pernah menjejakkan kaki ke sana, dan terbang tanpa seorang teman pun. Bimbang memang bimbang, kerana belum ada pengalaman terbang seorang diri sebelum ini.

Tiba di KLIA jam 1.30 pagi, saya terus membawa bagasi untuk daftar masuk di kaunter Qatar Airways, penerbangan saya ke Yaman nanti. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan pegawai di kaunter juga amat sporting dan memberi lebih muatan bagasi kepada saya tanpa sebarang bayaran tambahan. Jadi saya kembali ke tempat duduk bersama ahli keluarga untuk beberapa ketika. Setelah menunggu sehingga jam 2.30 pagi, saya menuju ke kaunter imigresen untuk ke balai perlepasan. Lancar, saya berlepas pada jam 4.00 pagi, seorangan meninggalkan Malaysia.

Kapal terbang lama(Airbus 300), kerusi 2-4-2, kerusi sempit.

Penerbangan yang mengambil masa 8 jam itu, benar benar menguji ketahanan perut saya. Rupanya saya ada masalah mabuk kapal terbang, baru 2 jam di udara sudah terasa mahu ke tandas. Mujur saya bisa melelapkan mata untuk 4 jam pertama. Tapi 4 jam yang seterusnya ibaratnya saya di neraka dunia. Air pocket yang kerap menambahkan lagi mabuk yang dialami. Melihat jarak kapal terbang untuk tiba ke Doha, Qatar memang pening. Sedikit demi sedikit kapal terbang bergerak di dalam peta simulasi itu, seolah-olah tidak bergerak langsung.

Dalam mabuk-mabuk, sempat jugak ambil gambar. Kerusi tepi tingkap.

Berkali-kali juga ke tandas untuk melepaskan azab yang tersimpan dalam perut. Penumpang di sebelah kasihan melihat saya muntah muntah, bertukar tempat duduk supaya mudah untuk saya ke tandas. Tidak berhenti-henti bertanya kesihatan saya. Sekurang-kurangnya, ada orang untuk saya bercerita kesakitan diri ini. Ibu telah saya tinggalkan di tanah air.

Setelah berjam-jam di dalam perut kapal terbang, mendarat juga akhirnya di Lapangan Antarabangsa Doha(Dauhah) pada jam lebih kurang 6.30 pagi di sana. Syukur setinggi-tingginya kepada Allah, berakhir sebentar seksa perut ini. Dalam lemah longlai tanpa tenaga, saya kuatkan diri juga untuk ke kaunter transit untuk menunggu kapal terbang seterusnya. Selesai sahaja urusan di kaunter, terus saja saya berlari ke tandas, dan 'lega'!

Transit Di Doha

Jarak waktu untuk kapal terbang yang seterusnya ke Sana'a lebih kurang 6 jam. Saya mengambil peluang ini untuk berehat, tidur 1-2 jam, meluruskan kaki, dan bersiar-siar di sekitar lapangan terbang Doha. Lapangan terbangnya tidak sebesar KLIA, cepat bosan dan tiada benda sangat yang menarik untuk dilihat. Setelah puas melihat semua tempat, saya melelapkan mata semula.

Apasal pintu perlepasan tak dibuka-buka lagi?

Sedar-sedar, kapal terbang yang dinanti masih belum dipastikan untuk mendarat pada waktunya atau tidak. Saya bergegas ke kaunter Qatar Airways untuk bertanya. Tahu-tahu, rupanya kapal terbang sudah 'delay', untuk 9 jam lagi. Huh, tak boleh jadi! Naik beku duduk di sini! Setelah memekak-mekak di kaunter, akhirnya saya dihantar ke hotel Movenpick di Doha untuk berehat di sana. Alhamdulillah, perjuanganku berbaloi.

Hotelnya memang lumayan selesa. Boleh dikatogerikan dalam hotel 4 bintang. Cukup semua sifat; air con, katil yang sangat empuk, bath tub air panas, tv satelit dan makan yang sangat sedap(daging kambing bakar memang class!). Oleh kerana masih pening lalat, saya cuma berehat di dalam bilik hotel tanpa bersiar-siar di Kota Doha(sayang). Tidur lagi.

Kembali ke lapangan terbang selepas 7 jam berehat di hotel. Berkenalan dengan 2 orang Maghribi dan seorang Yaman di dalam perjalanan ke sana. Terpaksa menggunakan sisa bahasa arab yang saya belajar semasa di sekolah. Entah difahami atau tak. Di kaunter pendaftaran Qatar Airways, ada pegawai bertanyakan kami sesuatu dalam English, dan orang-orang Arab ni tak faham sepatah pun. Mereka menolak saya ke depan untuk berkomunikasi dengan pegawai itu. Tak mengapalah, saya juga berurusan dengan pegawai yang sama.

Anak-anak orang Arab yang nakal, nak tidur pun tak boleh!

Saya berlepas ke Sana'a at last, setelah penerbangan tertangguh untuk 2 jam lagi. Penerbangan Yemenia memang terkenal dengan kelewatannya. Apa pun, perjalanan kali ini tidak berapa menyeksakan kerana perut saya telah sedikit stabil berbanding penerbangan awal tadi, walaupun masih ada rasa nak muntah.

Seorang Filipina duduk di sebelah saya pada penerbangan ini. Dia seorang Muslim, bekerja di Yaman. Seorang yang amat peramah. Setelah 2 jam 30 minit di udara, pesawat menghampiri Sana'a untuk mendarat. Sekali lagi perut meragam dengan begitu hebat. Apa yang menjadi masalah, pelawat perlu mengisi borang visa untuk memasuki Yaman, dan saya tidak larat untuk memegang pen pun. Muslim Filipina di sebelah mengurut bahu(mungkin dia tahu saya mabuk), dan meminta pasport saya untuk mengisi detail saya di dalam borang visa itu. Alhamdulillah, ada lagi orang menolong saya.

Ketika di imigresen Lapangan Terbang Sana'a, saya telah ditahan oleh pegawai di situ untuk ditanya. Macam-macam soalan ditanyakan, tapi saya tidak memahami mereka kerana mereka berbahasa pasar. Sudah hampir 20 minit mereka menyoal, tiada tanda untuk melepaskan diri yang tidak bersalah ini.

Akhirnya, saya cuba berbahasa arab standard, "Aku datang ke sini untuk belajar bahasa Arab di Sana'a, aku seorang Pelajar!"
"Kamu mahu bahasa Arab?"
"Ya," balas saya.
"Kalau begitu, tak ada masalah, selamat datang ke Yaman!"

HUH? Apa sebenarnya yang mereka mahukan? Membazirkan masa sahaja. Saya sudah bimbang akan ditahan di airport. Syukur, semuanya lancar selepas insiden itu, dan saya bertemu dengan orang Malaysia yang menunggu saya di sana.

Yaman adalah negara yang indah, tenang dan barakah. Namun, ianya juga adalah negara yang pelik. Kenapa? Kerana apa yang saya alami di lapangan terbang itu yang membuatkan saya berfikir sedemikian.

No comments:

Post a Comment