Saturday, March 10, 2012

TauBat Yang Tertangguh - PArt 2

Pada suatu hari, pagi-pagi sekali, Haji Ibrahim datang menemui Syeikh Mabruk dan memberinya kerja menggali kubur keluarganya yang baru meninggal. Kali ini yang meninggal adalah anak lelakinya. Inilah yang kelima kalinya Haji Ibrahim kematian anak.

Se­tiap tahun kesedihan Haji Ibrahim selalu berulang, kerana setiap kali dikurniai seorang putera, maka tidak berapa lama permata hatinya itu meninggal dunia.

Syeikh Mabruk sangat terharu. Dia berkata kepada Ibrahim dengan nada sinis:

"Sesungguhnya engkaulah yang lebih layak mendoakannya berbanding aku. Engkau sudah haji. Sudah berkunjung ke makam Nabi. Aku apa? Aku hanya berkunjung dari satu penjara ke penjara yang lain dan dari kaki lima ke asrama kanak-kanak nakal. Ketakwaanku kepada Tuhan pun telah engkau lihat sendiri. Bagaimana mungkin aku boleh mengangkat wajahku memohon untuk orang lain?"

Namun Haji Ibrahim terus merayu sambil menangis: "Sampai parau suaraku berdoa, telah kulakukan solat dan puasa, namun langit belum menyambut doaku. Aku mohon sangat, doakanlah puteriku satu-satunya, wahai Syeikh Mabruk. Allah lebih mengetahui isi hati manusia. Tolonglah aku, doakanlah puteriku. Ja­ngan engkau tolak permohonan ayah yang ma­lang ini."

Selepas mengucapkan kata-kata itu, Haji Ibrahim teresak-esak dengan wajah yang sangat menyedihkan. Betapa luluh hati Syeikh Mabruk melihatnya.

Tanpa diduga tiba-tiba Syeikh Mabruk menadahkan kedua-dua tangannya tinggi-tinggi dengan penuh kesungguhan, meskipun wajahnya nampak seperti orang yang menahan malu menatap ke hadirat Tuhannya. Dengan sesegala kerendahan hati dan di antara derai air matanya, ia memanjatkan doa kepada Tuhannya:

Ya Rabbi, sembuhkanlah anak itu, kerana tiada lagi yang kuasa menyembuhkan kecuali Engkau, ya Tuhan, berilah dia kesihatan, kerana tiada yang mampu memberinya kecuali Engkau, ya Tuhan."

Setelah Mabruk menyelesaikan doanya, tanpa ada yang menyuruh kedua-dua lelaki itu berpelukan sambil menangis. Satu peristiwa yang belum pernah mereka alami sejak lahir ke dunia. Tidak lama kemudian Haji Ibrahim pun pulang dan mereka berpisah.

Keesokan harinya, Haji Ibrahim datang semula ke perkuburan itu mencari Syeikh Mabruk. Dia mencari ke setiap penjuru, namun Syeikh Mabruk tidak kelihatan. Haji Ibrahim bertanya kepada orang-orang yang berpapasan dengannya:

"Di mana Syeikh Mabruk? Tunjukkan kepadaku di mana dia! Puteriku sudah sembuh dari lumpuhnya! Dia sudah boleh berdiri dari kerusi rodanya dan sudah boleh berjalan sendiri. Doktor kata peristiwa itu sebagai sesuatu yang ajaib. Aku mahu jumpa Syeikh Mabruk, di mana aku boleh menemuinya? Katakan, di mana?"

Haji Ibrahim tidak tahu apa telah berlaku kepada Syeikh Mabruk. Su­buh tadi, Syeikh Mabruk telah berpulang ke rahmatullah. Dia meninggal setelah selesai menyampaikan permo­honan ampunnya, sebagaimana yang biasa ia laku­kan sebelum tidur. Mabruk sentiasa memohon kepada Tuhannya dengan doa ini:

"Tuhanku, ampunilah aku. Tiada yang kuasa mengampuni segala dosaku, kecuali Engkau. Tuhan­ku, betapapun banyaknya dosaku, semuanya takkan membawa kerugian bagi-Mu. Dan betapapun banyaknya taatku, takkan membawa manfaat sedikitpun bagi-Mu, ya Tuhan. Engkau Maha Kaya lagi Berkuasa di alam semesta ini.

"Tuhanku, betapapun besarnya dosaku, keampunan-Mu lebih agung dari semua itu. Betapapun besarnya kejahatanku, ihsan-Mu lebih besar daripada semua yang ada.

"Maha Suci Engkau, ya Tuhan, begitu luas rahmat dan pengetahuan-Mu. Kasihanilah aku, ya Tuhan, kerana kelemahanku dan ketidak mampuanku ini. Engkau sendiri telah berfirman:

"Manusia diciptakan dalam keadaan lemah."

" Oh Tuhan, terimalah dan tempatkanlah aku bersama golongan yang suka merendah diri yang selalu takut kepada-Mu.

"Oh Tuhanku, Engkaulah Tuhan dan aku hamba-Mu. Engkau Wujud dan aku tiada. Maha Suci Engkau, aku tidak pernah memiliki dan berkuasa terhadap diriku sendiri, walau sedetik pun.

"Oh Tuhanku, aku serahkan diriku kepada-Mu. Kuserahkan segala kelemahanku kepada-Mu. Kuserahkan hakikat diriku kepada-Mu. Kuserahkan segala iradatku kepada-Mu. Kuserahkan hidupku kepada-Mu. Tiada yang lebih mampu dan lebih kuat kecuali Engkau, ya Tuhanku!

"Kerana Engkau, aku hidup. Kerana Engkau, aku mati. Kerana Engkau, aku dibangikitkan semula. Kerana Engkau, kuterima pengampunan. Dan kerana Engkau juga, aku dapat memasuki syurga-Mu."

***

Denyut nafas Syeikh Mabruk keluar satu demi satu, keluar lalu terbang ke langit menyambut datangnya fajar dan azan Subuh pagi itu. Hidupnya diserahkan semula kepada Tuhannya.

Berakhirlah kisah seorang manusia dari kumpulan terbuang yang banyak berbuat kesalahan, namun selalu mencuba mendekatkan diri kepada Tuhannya. Sudah tentu dia lebih baik dari orang yang selalu merasa diri paling taat, paling baik, atau paling soleh tetapi pada waktu yang sama kesombongannya lebih besar berbanding ketakwaannya.

Seorang hamba diampuni Tuhan, kerana dia tahu diri, tahu menempatkan dirinya. Meskipun dia berasal dari kum­pulan yang terdampar. Meskipun dia keluar dari pintu-pintu yang sempit di lorong-lorong yang remang.

Selesai

Wednesday, June 8, 2011

TauBat Yang Tertangguh - PArt 1

Oleh: Dr Mustafa Mahmud

Sebaik sahaja meneguk habis arak murahan dari botol itu, tiba-tiba lelaki tua itu menangis. Dia amat menyesal dengan apa yang baru dilakukannya. Dengan bibir terketar-ketar, dia meminta ampun kepada Tuhan:

"Oh Tuhan, aku bertaubat
kepada-Mu. Mulai sekarang aku berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Ampuni­lah aku, Tuhanku!"

Namun belum lama mengucapkan kata-kata mohon ampun itu, tangannya sudah menuang segelas lagi arak murahan itu tanpa dia sedari. Arak murahan itu kembali menyirami tekaknya. Dan dia pun mula menangis seperti sebelumnya. Bibirnya terketar-ketar memohon keampunan-Nya.

"Sekali ini sahaja, ya Tuhanku. Selepas ini tidak lagi. Berilah aku keampunan-Mu. Aku bertaubat. Aku akan ikuti semua suruhan agama-Mu."

Lelaki itu tidak kuasa mengekang dorongan nafsunya. Apabila ia sedar akan kesalahannya, maka ketidakmampuan mengekang nafsu menjadi pengha­langnya. Demikianlah yang berlaku kepada Syeikh Mabruk yang sentiasa hendak bertaubat, namun se­lalu gagal kerana tidak mampu menolak dorongan hawa nafsunya sendiri.

Panggilan "syeikh" ini adalah sindiran terhadap perangai buruknya. Usianya sudah menjangkau enam puluhan, tapi melihat keadaan tubuhnya menampak­kan usianya telah seratus tahun lebih. Tua, dan nam­pak rapuh sekali.

Dahulu ketika bayi, dia ditemui di tepi kaki lima de­ngan hanya berbungkus sehelai lampin. Kemudian dia dibawa ke rumah anak yatim untuk dipelihara dan di­besarkan. Apabila sudah besar sedikit, dia ditempat­kan di asrama kanak-kanak nakal.

Hampir semua kejahatan kecil pernah dia laku­kan. Dia seolah-olah berenang di dalamnya. Hingga tak hairan apabila hidupnya selalu keluar-ma­suk penjara.

Begitulah hari-hari yang dilalui Syeikh Mabruk, hingga akhirnya bekerja sebagai penjaga kubur. Dia sangat betah dengan kerja barunya. Dia makan, minum dan tidur bersama mayat-mayat.

Pada waktu pagi dia merupakan seorang penjaga kubur yang baik. Na­mun, begitu malam tiba, ia berubah menjadi penjual mayat yang baru meninggal kepada para mahasiswa jurusan perubatan. Bayarannya sekadar cukup untuk membeli arak murahan. Dia perlu minum arak setiap malam supaya dia boleh mabuk, konon untuk mele­nyapkan kesepiannya.


Hidup Syeikh Mabruk sejak bayi telah terbuang di tepi jalan. Meskipun demikian, Mabruk termasuk penjahat yang memiliki kekhususan tersendiri. Dia seorang penjahat yang patut dikasihani. Dia selalu menangisi perbuatan yang tak pernah dapat dia tinggalkan.

Dia merasa malu kepada Tuhannya. Hal itu dapat dilihat dari wajahnya yang sentiasa tertun­duk. Batinnya seakan-akan berkata, bahawa tidaklah berhak orang sepertinya menerima kehangatan sinar mentari, begitu juga menghirup udara bersih dan me­masukkan makanan yang baik ke dalam perutnya.

Dia sebenarnya tidak suka berbuat dosa, jika bukan kerana sesuatu "yang memaksa". Setiap saat dia berusaha supaya dapat menghindari apa juga kejahatan. Dia telah mencuba beristiqamah.

Mabruk berusaha sedaya upaya untuk mengalahkan perangai buruknya, namun tabiat itu masih terus menguasai dirinya. Telah dicubanya untuk memperbaiki kelemahannya, namun kelemahannya itu menguasai dirinya semula.

Akhirnya Mabruk teresak-esak, merasa diri sebagai insan terbuang. Lalu dia berusaha melupa­kan semua yang dialaminya dengan titis demi titis, gelas demi gelas minuman arak. Semakin banyak dia mi­num, semakin terdampar dia di lembah penyesalan dan kehinaan.

Mabruk merasa bahawa Tuhan selalu memburu­nya. Entah dari mana munculnya perasaan itu. Yang jelas dia sentiasa resah di antara tatapan Tuhan yang sentiasa terjaga.

Ia merasa jijik terhadap dirinya sendiri. Perasaan itu sangat melekat pada dirinya bagaikan naik-turun pernafasan, sesuatu yang tidak pernah dapat dilepaskan dari dirinya. Seakan-akan dirinya seperti lipas yang jatuh ke dalam gam, setiap kali ia bergerak untuk melepaskan diri, semakin tenggelam ia ke dalamnya.


Sikap pesimis dan putus asa bukan merupakan penyelamat dari bahaya maut, bukan pula jalan keluar bagi apa juga persoalan. Itulah sebabnya Mabruk yakin bahawa betapapun besar dosa yang ada pada dirinya, pasti keampunan Tuhan lebih besar lagi.

Sesungguhnya Allah tidak merasa beruntung kerana ketaatan kita, ti­dak pula merasa rugi kerana perbuatan dosa kita. Tuhan Maha Kaya terhadap diri-Nya di alam semesta ini. Tuhan Yang Maha Rahim dan Maha Mengetahui, Maha Mem­beri tanpa pernah meminta bantuan dari siapa pun. Semua makhluk memerlukan-Nya. Semuanya miskin di hadapan-Nya.

Keyakinan itulah yang membuatnya tidak pernah ber­henti menangis. Tidak pernah alpa menanti terbuka­nya pintu rahmat, walaupun ia tahu kedua-dua tangannya berlumuran dosa.

Semua orang sekeliling tahu sejarah hidupnya. Di antara mereka ada yang mengejek, na­mun lebih ramai yang prihatin dan bersimpati melihat nasib Mabruk yang malang.

Beberapa orang datang ke­pada Syeikh Mabruk supaya mendoakan mereka. Dia menjawab permohonan mereka dengan cucuran air mata: "Syeikh Mabruk mendoakan kamu? Ah, apakah kamu belum tahu bahawa aku ini bukan Syeikh, bu­kan pula Mabruk (yang diberkati)?!" Setelah itu dia pun mula me­nangis teresak-esak.

Dengan gemetar tangannya mero­goh poket bajunya lalu mengeluarkan sebotol arak. Air mata yang mengalir deras di pipi­nya tertelan bersama kencing syaitan itu. Kemudian dia lari menuju kawasan perkuburan yang agak gelap, dan di sana ia memohon keam­punan dan maghfirah dari Tuhannya.

Friday, March 25, 2011

Doa Munajat I'tiraf : Kisah disebaliknya

Al I'tiraf adalah satu syair berbentuk doa munajat kepada Allah yang digubah oleh Abu Nuwās. Secara luarannya, beliau merupakan seorang pelawak dan penyajak yang mana bait sajaknya sering dibuat untuk menimbulkan rasa lucu kepada para pendengarnya. Tetapi, jauh disudut hatinya, beliau adalah seorang yang sangat takutkan Penciptanya dan sangat ikhlas dalam ibadahnya, di samping sentiasa mengingati dan insaf tentang natijah hidupnya ketika di hari pengadilan kelak.

Satu hari,

Abu Nuwas duduk bersendirian menyaksikan langit petang yang menghampiri senja. Keadaan ketika itu sangat tenang dan kelihatan langit biru yang sangat indah bersulamkan cahaya sang suria yang sedang menghampiri senja. Secara perlahan lahan, keindahan senja yang mengasyikkan itu digantikan dengan gelap malam yang datang menggantikan siang. Abu Nuwas mengalirkan air matanya apabila melihatkan apa yang berlaku dihadapannya.

Beliau merasakan hatinya remuk redam, dan perasaannya di dalam keluh kesah. Dirinya begitu tertekan dan di dalam kesedihan yang amat dalam, Abu Nuwas meratap dan menangis mengenangkan kesilapan dirinya dahulukala. Dalam penuh perasaan yang penuh berharap, beliau mengangkat kedua tangannya ke langit dan bermunajat kepada Allah, mengadu perasaannya kepada Allah. Dan dalam munajat inilah, terciptanya Doa I'tiraf yang sangat masyhur itu.

Beliau mengakui dan insaf akan banyaknya dosa yang telah dilakukan sepanjang hayatnya, dan tahu syurga tidak pernah layak untuk manusia seperti beliau. Beliau juga sedar akan kelemahan diri untuk menahan panasnya azab siksa neraka. Sebagai seorang hamba yang tiada punya hak ke atas dirinya, tiadalah berdaya untuk mencampuri atau mengubah nasib yang sudah tertulis, kecuali bergantung harap ke atas Kasih Sayang Allah yang dengan mengetuk pintu taubat yang sentiasa terbuka untuk para hambanya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Nuwas pada waktu mudanya adalah seorang sentiasa melakukan perkara perkara yang bertentangan dengan Islam. Sajak sajak yang diciptanya semua berkaitan dengan tema tema yang melalaikan dan terlalu memuja hal keduniaan. Maklum untuk semua yang disekeliling bahawa Abu Nuwas adalah seorang yang sudah rosak akhlaknya; tiada harapan untuk berubah.

Dia juga sedar tentang nasib dirinya dan banyaknya dosa yang telah dilakukan, pada waktu akhir hayatnya digubah satu syair munajat, satu pengharapan yang besar amat kepada Allah yang Maha Pengampun. Syair ini ditemui di bawah bantal dimana Abu Nuwas menghembuskan nafas terakhirnya.

Wahai Tuhanku, Jika sudah bertambah dosaku ini,

Tapi aku yakin, keampunanMu lebih besar daripadanya,

Jika hanya orang yang benar sahaja yang akan bertemuMu,

Maka kemanakah si pembuat dosa ini akan pergi?

Aku memohon kepadaMu,

Seperti mana yang Engkau pinta, dengan penuh penghormatan pada Mu,

Sekiranya Engkau berpaling daripada permintaanku ini,

Maka siapalah lagi yang dapat memberi belas kasihnya(padaku)?

Tiadalah punya erti diriiku padaMu, melainkan pengharapan(ku),

Dan juga keampunanMu yang Indah, dan sesungguhnya aku berserah kepadaMu...

Sunday, July 5, 2009

Terbang ke Sana'a.......ceritaku

Hmm, sudah terlajak bercerita tentang apa yang berlaku di Jami' Kabir di Sana'a, eloklah kalau saya bermula daripada awal, bermula daripada waktu saya berada di KLIA untuk berlepas ke Sana'a. Apa yang saya tahu, inilah perjalanan yang amat berharga bagi saya, dan juga amat menyeksakan, kerana macam macam masalah yang berlaku kepada saya.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Akhirnya, jam di rumah sudah menunjukkan jam 12.30 pagi, tibalah masa saya untuk bergerak ke KLIA dari rumah, bersama-sama dengan keluarga saya. Sebelum bertolak, ramai saudara-mara mengunjungi saya dan memberikan semangat kepada saya supaya cekal di Yaman nanti. Yalah, tidak pernah menjejakkan kaki ke sana, dan terbang tanpa seorang teman pun. Bimbang memang bimbang, kerana belum ada pengalaman terbang seorang diri sebelum ini.

Tiba di KLIA jam 1.30 pagi, saya terus membawa bagasi untuk daftar masuk di kaunter Qatar Airways, penerbangan saya ke Yaman nanti. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan pegawai di kaunter juga amat sporting dan memberi lebih muatan bagasi kepada saya tanpa sebarang bayaran tambahan. Jadi saya kembali ke tempat duduk bersama ahli keluarga untuk beberapa ketika. Setelah menunggu sehingga jam 2.30 pagi, saya menuju ke kaunter imigresen untuk ke balai perlepasan. Lancar, saya berlepas pada jam 4.00 pagi, seorangan meninggalkan Malaysia.

Kapal terbang lama(Airbus 300), kerusi 2-4-2, kerusi sempit.

Penerbangan yang mengambil masa 8 jam itu, benar benar menguji ketahanan perut saya. Rupanya saya ada masalah mabuk kapal terbang, baru 2 jam di udara sudah terasa mahu ke tandas. Mujur saya bisa melelapkan mata untuk 4 jam pertama. Tapi 4 jam yang seterusnya ibaratnya saya di neraka dunia. Air pocket yang kerap menambahkan lagi mabuk yang dialami. Melihat jarak kapal terbang untuk tiba ke Doha, Qatar memang pening. Sedikit demi sedikit kapal terbang bergerak di dalam peta simulasi itu, seolah-olah tidak bergerak langsung.

Dalam mabuk-mabuk, sempat jugak ambil gambar. Kerusi tepi tingkap.

Berkali-kali juga ke tandas untuk melepaskan azab yang tersimpan dalam perut. Penumpang di sebelah kasihan melihat saya muntah muntah, bertukar tempat duduk supaya mudah untuk saya ke tandas. Tidak berhenti-henti bertanya kesihatan saya. Sekurang-kurangnya, ada orang untuk saya bercerita kesakitan diri ini. Ibu telah saya tinggalkan di tanah air.

Setelah berjam-jam di dalam perut kapal terbang, mendarat juga akhirnya di Lapangan Antarabangsa Doha(Dauhah) pada jam lebih kurang 6.30 pagi di sana. Syukur setinggi-tingginya kepada Allah, berakhir sebentar seksa perut ini. Dalam lemah longlai tanpa tenaga, saya kuatkan diri juga untuk ke kaunter transit untuk menunggu kapal terbang seterusnya. Selesai sahaja urusan di kaunter, terus saja saya berlari ke tandas, dan 'lega'!

Transit Di Doha

Jarak waktu untuk kapal terbang yang seterusnya ke Sana'a lebih kurang 6 jam. Saya mengambil peluang ini untuk berehat, tidur 1-2 jam, meluruskan kaki, dan bersiar-siar di sekitar lapangan terbang Doha. Lapangan terbangnya tidak sebesar KLIA, cepat bosan dan tiada benda sangat yang menarik untuk dilihat. Setelah puas melihat semua tempat, saya melelapkan mata semula.

Apasal pintu perlepasan tak dibuka-buka lagi?

Sedar-sedar, kapal terbang yang dinanti masih belum dipastikan untuk mendarat pada waktunya atau tidak. Saya bergegas ke kaunter Qatar Airways untuk bertanya. Tahu-tahu, rupanya kapal terbang sudah 'delay', untuk 9 jam lagi. Huh, tak boleh jadi! Naik beku duduk di sini! Setelah memekak-mekak di kaunter, akhirnya saya dihantar ke hotel Movenpick di Doha untuk berehat di sana. Alhamdulillah, perjuanganku berbaloi.

Hotelnya memang lumayan selesa. Boleh dikatogerikan dalam hotel 4 bintang. Cukup semua sifat; air con, katil yang sangat empuk, bath tub air panas, tv satelit dan makan yang sangat sedap(daging kambing bakar memang class!). Oleh kerana masih pening lalat, saya cuma berehat di dalam bilik hotel tanpa bersiar-siar di Kota Doha(sayang). Tidur lagi.

Kembali ke lapangan terbang selepas 7 jam berehat di hotel. Berkenalan dengan 2 orang Maghribi dan seorang Yaman di dalam perjalanan ke sana. Terpaksa menggunakan sisa bahasa arab yang saya belajar semasa di sekolah. Entah difahami atau tak. Di kaunter pendaftaran Qatar Airways, ada pegawai bertanyakan kami sesuatu dalam English, dan orang-orang Arab ni tak faham sepatah pun. Mereka menolak saya ke depan untuk berkomunikasi dengan pegawai itu. Tak mengapalah, saya juga berurusan dengan pegawai yang sama.

Anak-anak orang Arab yang nakal, nak tidur pun tak boleh!

Saya berlepas ke Sana'a at last, setelah penerbangan tertangguh untuk 2 jam lagi. Penerbangan Yemenia memang terkenal dengan kelewatannya. Apa pun, perjalanan kali ini tidak berapa menyeksakan kerana perut saya telah sedikit stabil berbanding penerbangan awal tadi, walaupun masih ada rasa nak muntah.

Seorang Filipina duduk di sebelah saya pada penerbangan ini. Dia seorang Muslim, bekerja di Yaman. Seorang yang amat peramah. Setelah 2 jam 30 minit di udara, pesawat menghampiri Sana'a untuk mendarat. Sekali lagi perut meragam dengan begitu hebat. Apa yang menjadi masalah, pelawat perlu mengisi borang visa untuk memasuki Yaman, dan saya tidak larat untuk memegang pen pun. Muslim Filipina di sebelah mengurut bahu(mungkin dia tahu saya mabuk), dan meminta pasport saya untuk mengisi detail saya di dalam borang visa itu. Alhamdulillah, ada lagi orang menolong saya.

Ketika di imigresen Lapangan Terbang Sana'a, saya telah ditahan oleh pegawai di situ untuk ditanya. Macam-macam soalan ditanyakan, tapi saya tidak memahami mereka kerana mereka berbahasa pasar. Sudah hampir 20 minit mereka menyoal, tiada tanda untuk melepaskan diri yang tidak bersalah ini.

Akhirnya, saya cuba berbahasa arab standard, "Aku datang ke sini untuk belajar bahasa Arab di Sana'a, aku seorang Pelajar!"
"Kamu mahu bahasa Arab?"
"Ya," balas saya.
"Kalau begitu, tak ada masalah, selamat datang ke Yaman!"

HUH? Apa sebenarnya yang mereka mahukan? Membazirkan masa sahaja. Saya sudah bimbang akan ditahan di airport. Syukur, semuanya lancar selepas insiden itu, dan saya bertemu dengan orang Malaysia yang menunggu saya di sana.

Yaman adalah negara yang indah, tenang dan barakah. Namun, ianya juga adalah negara yang pelik. Kenapa? Kerana apa yang saya alami di lapangan terbang itu yang membuatkan saya berfikir sedemikian.

Thursday, July 2, 2009

Experience bertemu dengan orang Syiah

Tutup cerita pasal isu semasa. Makin hari makin serabut dibuatnya. Semakin ternampak siapa yang sebenarnya mengidamkan UG dan masih mengharapkan ada putik-putik perpaduan dengan Umno. Kalau begini keadaan berterusan, Pas boleh say goodbye untuk next PRU13.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Teringat kenangan lama semasa tinggal di Sana'a, Yaman untuk beberapa ketika dahulu. Sana'a ini merupakan kota lama yang menyimpan pelbagai kesan sejarah yang menarik untuk diperhatikan. Satu lagi perkara menarik, Sana'a, walaupun terletak di benua Arab, bukanlah panas seperti yang kita semua fikirkan. Amat sejuk, lebih lebih lagi di waktu malam. Suhu pagi lebih kurang 20-25 darjah celcius dan malam boleh turun sehingga 10 darjah celcius. Tapi, ini ketika musim panas. Kalau musim sejuk, Allah sahaja yang tahu.

Di kota ini, penduduknya bercampur baur antara pengikut Sunnah Syafi'e dan juga mazhab Syiah Zaidiyyah. Perbezaan ini boleh dilihat dimana-mana tempat. Pada pengalaman saya, azan bagi Syiah Zaidiyyah hanya senada atau setone, ianya identical dimana-mana masjid pun. Maka, senanglah untuk memilih masjid Sunnah untuk menunaikan Solat.

Satu ketika, saya mengikut seorang kawan mengunjungi Jami' Kabir untuk menunaikan Solat Zuhur di sana. Jami' Kabir terletak di dalam Sana'a Lama, ataupun Sana'a Qadeemah. Sana'a Lama amatlah unik, bangunannya indah, diukir dengan sebegitu teliti dan ada yang dibina menggunakan tanah liat. Satu pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Bangunan di Sana'a Qadeemah, unik

Sana'a Qadeemah adalah base untuk pengikut Syiah Zaidiyyah, termasuklah Jami' Kabir yang akan dilawati ini. Tetapi, para Ulama' muktabar berhukum bahawa sah solat berimamkan mereka kerana Zaidiyyah tidak mengkafirkan para sahabat, cuma mengatakan yang Saidina Ali lebih Aulaa untuk jawatan khalifah berbanding Abu Bakr.

Dari jauh Jami' Kabir - gambar internet

Setibanya saya dan kawan di masjid itu, kami menunaikan Solat Tahiyyatul Masjid dan beri'tikaf sementara menunggu waktu zuhur. Kerana masih lama menunggu masuk waktu, saya bersiar-siar di sekeliling masjid sebentar. Masjid ini adalah masjid lama. Masjid yang diarahkan pembinaannya oleh Rasulullah sendiri, dengan mu'jizat panduan kiblat masjid ini telah dibuktikan melalui Google Earth, dimana arah kiblatnya terus menuju ke pusat Kaabah di Makkah.

Bahagian depan masjid, mihrab di sini.

Bahagian tengah Jami' Kabir. Open air.

Akhirnya masuk Zuhur, dan kami bersolat bersama jemaah yang lain. Apa yang saya perhatikan, jemaah di sini tidak mengikut tertib saf; ada yang solat di belakang, ada yang bersama di bahagian depan. Tak mengapalah, mungkin mazhab mereka membenarkan. Saya pun bersolat seperti biasa.

Setelah selesai solat dan wirid sendirian, saya dan kawan saya mahu beredar untuk persiapan ke kelas. Tiba-tiba, beberapa orang Arab menahan kami dan bertanya sesuatu kepada kami.

"Hai Orang Cina, adakah engkau berdua AhlusSunnah?"
"Ya, ada masalah dengan kami?" Kawan saya menjawab, saya hanya mendiamkan diri.
"Cara kau bersolat sungguh pelik dan lucu!" mereka membalas. "Kenapa?" Saya bertanya.
"Kau bersolat begini (sambil meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bahagian perut, seperti kita biasa bersolat), macam kau sedang memeluk seekor anjing!"
Kawan saya hanya tersenyum.
"Adakah kau sedar, solat kau pula(menunjukkan dua tangan dilepaskan ke sisi badan) seolah-olah kau memegang dua ekor anjing!"

Pergh, berani gila kawan aku sorang ni. Tapi, orang Arab tadi tidak oun marah ataupun membalas. Mungkin tergamam agaknya. Terus saja kawan saya meminta diri bersama saya untuk keluar dari masjid. Orang Arab tadi hanya memerhatikan kami pergi.

Sebenarnya, ramai sudah menceritakan tentang perkara ini. Tapi apabila terjadi kepada saya sendiri, baru saya tau, kadang-kadang ada orang fanatik gila sampai perkara yang tak pernah dipraktikkan disindir sebegitu. Mujur sesuatu yang tidak diingini tak terjadi. Tapi, berjumpa dengan orang totok Syiah Zaidiyyah memang satu pengalaman yang 'hebat'.

Salam Kenal!

Assalamualaikum.

Ini adalah blog kedua saya. Dalam blog ini, saya mahu menceritakan tentang apa sahaja pengalaman saya di dunia luar. Tiada isu panas/politik di dalam blog ini, cuma mahu berkongsi kehidupan saya dengan anda semua.

Selamat membaca.