Friday, March 25, 2011

Doa Munajat I'tiraf : Kisah disebaliknya

Al I'tiraf adalah satu syair berbentuk doa munajat kepada Allah yang digubah oleh Abu Nuwās. Secara luarannya, beliau merupakan seorang pelawak dan penyajak yang mana bait sajaknya sering dibuat untuk menimbulkan rasa lucu kepada para pendengarnya. Tetapi, jauh disudut hatinya, beliau adalah seorang yang sangat takutkan Penciptanya dan sangat ikhlas dalam ibadahnya, di samping sentiasa mengingati dan insaf tentang natijah hidupnya ketika di hari pengadilan kelak.

Satu hari,

Abu Nuwas duduk bersendirian menyaksikan langit petang yang menghampiri senja. Keadaan ketika itu sangat tenang dan kelihatan langit biru yang sangat indah bersulamkan cahaya sang suria yang sedang menghampiri senja. Secara perlahan lahan, keindahan senja yang mengasyikkan itu digantikan dengan gelap malam yang datang menggantikan siang. Abu Nuwas mengalirkan air matanya apabila melihatkan apa yang berlaku dihadapannya.

Beliau merasakan hatinya remuk redam, dan perasaannya di dalam keluh kesah. Dirinya begitu tertekan dan di dalam kesedihan yang amat dalam, Abu Nuwas meratap dan menangis mengenangkan kesilapan dirinya dahulukala. Dalam penuh perasaan yang penuh berharap, beliau mengangkat kedua tangannya ke langit dan bermunajat kepada Allah, mengadu perasaannya kepada Allah. Dan dalam munajat inilah, terciptanya Doa I'tiraf yang sangat masyhur itu.

Beliau mengakui dan insaf akan banyaknya dosa yang telah dilakukan sepanjang hayatnya, dan tahu syurga tidak pernah layak untuk manusia seperti beliau. Beliau juga sedar akan kelemahan diri untuk menahan panasnya azab siksa neraka. Sebagai seorang hamba yang tiada punya hak ke atas dirinya, tiadalah berdaya untuk mencampuri atau mengubah nasib yang sudah tertulis, kecuali bergantung harap ke atas Kasih Sayang Allah yang dengan mengetuk pintu taubat yang sentiasa terbuka untuk para hambanya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Nuwas pada waktu mudanya adalah seorang sentiasa melakukan perkara perkara yang bertentangan dengan Islam. Sajak sajak yang diciptanya semua berkaitan dengan tema tema yang melalaikan dan terlalu memuja hal keduniaan. Maklum untuk semua yang disekeliling bahawa Abu Nuwas adalah seorang yang sudah rosak akhlaknya; tiada harapan untuk berubah.

Dia juga sedar tentang nasib dirinya dan banyaknya dosa yang telah dilakukan, pada waktu akhir hayatnya digubah satu syair munajat, satu pengharapan yang besar amat kepada Allah yang Maha Pengampun. Syair ini ditemui di bawah bantal dimana Abu Nuwas menghembuskan nafas terakhirnya.

Wahai Tuhanku, Jika sudah bertambah dosaku ini,

Tapi aku yakin, keampunanMu lebih besar daripadanya,

Jika hanya orang yang benar sahaja yang akan bertemuMu,

Maka kemanakah si pembuat dosa ini akan pergi?

Aku memohon kepadaMu,

Seperti mana yang Engkau pinta, dengan penuh penghormatan pada Mu,

Sekiranya Engkau berpaling daripada permintaanku ini,

Maka siapalah lagi yang dapat memberi belas kasihnya(padaku)?

Tiadalah punya erti diriiku padaMu, melainkan pengharapan(ku),

Dan juga keampunanMu yang Indah, dan sesungguhnya aku berserah kepadaMu...