Wednesday, June 8, 2011

TauBat Yang Tertangguh - PArt 1

Oleh: Dr Mustafa Mahmud

Sebaik sahaja meneguk habis arak murahan dari botol itu, tiba-tiba lelaki tua itu menangis. Dia amat menyesal dengan apa yang baru dilakukannya. Dengan bibir terketar-ketar, dia meminta ampun kepada Tuhan:

"Oh Tuhan, aku bertaubat
kepada-Mu. Mulai sekarang aku berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Ampuni­lah aku, Tuhanku!"

Namun belum lama mengucapkan kata-kata mohon ampun itu, tangannya sudah menuang segelas lagi arak murahan itu tanpa dia sedari. Arak murahan itu kembali menyirami tekaknya. Dan dia pun mula menangis seperti sebelumnya. Bibirnya terketar-ketar memohon keampunan-Nya.

"Sekali ini sahaja, ya Tuhanku. Selepas ini tidak lagi. Berilah aku keampunan-Mu. Aku bertaubat. Aku akan ikuti semua suruhan agama-Mu."

Lelaki itu tidak kuasa mengekang dorongan nafsunya. Apabila ia sedar akan kesalahannya, maka ketidakmampuan mengekang nafsu menjadi pengha­langnya. Demikianlah yang berlaku kepada Syeikh Mabruk yang sentiasa hendak bertaubat, namun se­lalu gagal kerana tidak mampu menolak dorongan hawa nafsunya sendiri.

Panggilan "syeikh" ini adalah sindiran terhadap perangai buruknya. Usianya sudah menjangkau enam puluhan, tapi melihat keadaan tubuhnya menampak­kan usianya telah seratus tahun lebih. Tua, dan nam­pak rapuh sekali.

Dahulu ketika bayi, dia ditemui di tepi kaki lima de­ngan hanya berbungkus sehelai lampin. Kemudian dia dibawa ke rumah anak yatim untuk dipelihara dan di­besarkan. Apabila sudah besar sedikit, dia ditempat­kan di asrama kanak-kanak nakal.

Hampir semua kejahatan kecil pernah dia laku­kan. Dia seolah-olah berenang di dalamnya. Hingga tak hairan apabila hidupnya selalu keluar-ma­suk penjara.

Begitulah hari-hari yang dilalui Syeikh Mabruk, hingga akhirnya bekerja sebagai penjaga kubur. Dia sangat betah dengan kerja barunya. Dia makan, minum dan tidur bersama mayat-mayat.

Pada waktu pagi dia merupakan seorang penjaga kubur yang baik. Na­mun, begitu malam tiba, ia berubah menjadi penjual mayat yang baru meninggal kepada para mahasiswa jurusan perubatan. Bayarannya sekadar cukup untuk membeli arak murahan. Dia perlu minum arak setiap malam supaya dia boleh mabuk, konon untuk mele­nyapkan kesepiannya.


Hidup Syeikh Mabruk sejak bayi telah terbuang di tepi jalan. Meskipun demikian, Mabruk termasuk penjahat yang memiliki kekhususan tersendiri. Dia seorang penjahat yang patut dikasihani. Dia selalu menangisi perbuatan yang tak pernah dapat dia tinggalkan.

Dia merasa malu kepada Tuhannya. Hal itu dapat dilihat dari wajahnya yang sentiasa tertun­duk. Batinnya seakan-akan berkata, bahawa tidaklah berhak orang sepertinya menerima kehangatan sinar mentari, begitu juga menghirup udara bersih dan me­masukkan makanan yang baik ke dalam perutnya.

Dia sebenarnya tidak suka berbuat dosa, jika bukan kerana sesuatu "yang memaksa". Setiap saat dia berusaha supaya dapat menghindari apa juga kejahatan. Dia telah mencuba beristiqamah.

Mabruk berusaha sedaya upaya untuk mengalahkan perangai buruknya, namun tabiat itu masih terus menguasai dirinya. Telah dicubanya untuk memperbaiki kelemahannya, namun kelemahannya itu menguasai dirinya semula.

Akhirnya Mabruk teresak-esak, merasa diri sebagai insan terbuang. Lalu dia berusaha melupa­kan semua yang dialaminya dengan titis demi titis, gelas demi gelas minuman arak. Semakin banyak dia mi­num, semakin terdampar dia di lembah penyesalan dan kehinaan.

Mabruk merasa bahawa Tuhan selalu memburu­nya. Entah dari mana munculnya perasaan itu. Yang jelas dia sentiasa resah di antara tatapan Tuhan yang sentiasa terjaga.

Ia merasa jijik terhadap dirinya sendiri. Perasaan itu sangat melekat pada dirinya bagaikan naik-turun pernafasan, sesuatu yang tidak pernah dapat dilepaskan dari dirinya. Seakan-akan dirinya seperti lipas yang jatuh ke dalam gam, setiap kali ia bergerak untuk melepaskan diri, semakin tenggelam ia ke dalamnya.


Sikap pesimis dan putus asa bukan merupakan penyelamat dari bahaya maut, bukan pula jalan keluar bagi apa juga persoalan. Itulah sebabnya Mabruk yakin bahawa betapapun besar dosa yang ada pada dirinya, pasti keampunan Tuhan lebih besar lagi.

Sesungguhnya Allah tidak merasa beruntung kerana ketaatan kita, ti­dak pula merasa rugi kerana perbuatan dosa kita. Tuhan Maha Kaya terhadap diri-Nya di alam semesta ini. Tuhan Yang Maha Rahim dan Maha Mengetahui, Maha Mem­beri tanpa pernah meminta bantuan dari siapa pun. Semua makhluk memerlukan-Nya. Semuanya miskin di hadapan-Nya.

Keyakinan itulah yang membuatnya tidak pernah ber­henti menangis. Tidak pernah alpa menanti terbuka­nya pintu rahmat, walaupun ia tahu kedua-dua tangannya berlumuran dosa.

Semua orang sekeliling tahu sejarah hidupnya. Di antara mereka ada yang mengejek, na­mun lebih ramai yang prihatin dan bersimpati melihat nasib Mabruk yang malang.

Beberapa orang datang ke­pada Syeikh Mabruk supaya mendoakan mereka. Dia menjawab permohonan mereka dengan cucuran air mata: "Syeikh Mabruk mendoakan kamu? Ah, apakah kamu belum tahu bahawa aku ini bukan Syeikh, bu­kan pula Mabruk (yang diberkati)?!" Setelah itu dia pun mula me­nangis teresak-esak.

Dengan gemetar tangannya mero­goh poket bajunya lalu mengeluarkan sebotol arak. Air mata yang mengalir deras di pipi­nya tertelan bersama kencing syaitan itu. Kemudian dia lari menuju kawasan perkuburan yang agak gelap, dan di sana ia memohon keam­punan dan maghfirah dari Tuhannya.

Friday, March 25, 2011

Doa Munajat I'tiraf : Kisah disebaliknya

Al I'tiraf adalah satu syair berbentuk doa munajat kepada Allah yang digubah oleh Abu Nuwās. Secara luarannya, beliau merupakan seorang pelawak dan penyajak yang mana bait sajaknya sering dibuat untuk menimbulkan rasa lucu kepada para pendengarnya. Tetapi, jauh disudut hatinya, beliau adalah seorang yang sangat takutkan Penciptanya dan sangat ikhlas dalam ibadahnya, di samping sentiasa mengingati dan insaf tentang natijah hidupnya ketika di hari pengadilan kelak.

Satu hari,

Abu Nuwas duduk bersendirian menyaksikan langit petang yang menghampiri senja. Keadaan ketika itu sangat tenang dan kelihatan langit biru yang sangat indah bersulamkan cahaya sang suria yang sedang menghampiri senja. Secara perlahan lahan, keindahan senja yang mengasyikkan itu digantikan dengan gelap malam yang datang menggantikan siang. Abu Nuwas mengalirkan air matanya apabila melihatkan apa yang berlaku dihadapannya.

Beliau merasakan hatinya remuk redam, dan perasaannya di dalam keluh kesah. Dirinya begitu tertekan dan di dalam kesedihan yang amat dalam, Abu Nuwas meratap dan menangis mengenangkan kesilapan dirinya dahulukala. Dalam penuh perasaan yang penuh berharap, beliau mengangkat kedua tangannya ke langit dan bermunajat kepada Allah, mengadu perasaannya kepada Allah. Dan dalam munajat inilah, terciptanya Doa I'tiraf yang sangat masyhur itu.

Beliau mengakui dan insaf akan banyaknya dosa yang telah dilakukan sepanjang hayatnya, dan tahu syurga tidak pernah layak untuk manusia seperti beliau. Beliau juga sedar akan kelemahan diri untuk menahan panasnya azab siksa neraka. Sebagai seorang hamba yang tiada punya hak ke atas dirinya, tiadalah berdaya untuk mencampuri atau mengubah nasib yang sudah tertulis, kecuali bergantung harap ke atas Kasih Sayang Allah yang dengan mengetuk pintu taubat yang sentiasa terbuka untuk para hambanya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Abu Nuwas pada waktu mudanya adalah seorang sentiasa melakukan perkara perkara yang bertentangan dengan Islam. Sajak sajak yang diciptanya semua berkaitan dengan tema tema yang melalaikan dan terlalu memuja hal keduniaan. Maklum untuk semua yang disekeliling bahawa Abu Nuwas adalah seorang yang sudah rosak akhlaknya; tiada harapan untuk berubah.

Dia juga sedar tentang nasib dirinya dan banyaknya dosa yang telah dilakukan, pada waktu akhir hayatnya digubah satu syair munajat, satu pengharapan yang besar amat kepada Allah yang Maha Pengampun. Syair ini ditemui di bawah bantal dimana Abu Nuwas menghembuskan nafas terakhirnya.

Wahai Tuhanku, Jika sudah bertambah dosaku ini,

Tapi aku yakin, keampunanMu lebih besar daripadanya,

Jika hanya orang yang benar sahaja yang akan bertemuMu,

Maka kemanakah si pembuat dosa ini akan pergi?

Aku memohon kepadaMu,

Seperti mana yang Engkau pinta, dengan penuh penghormatan pada Mu,

Sekiranya Engkau berpaling daripada permintaanku ini,

Maka siapalah lagi yang dapat memberi belas kasihnya(padaku)?

Tiadalah punya erti diriiku padaMu, melainkan pengharapan(ku),

Dan juga keampunanMu yang Indah, dan sesungguhnya aku berserah kepadaMu...